章程 | Rules

UNDANG-UNDANG BAGI

PERSEKUTUAN PERSATUAN TABIB PERUBATAN TRADISIONAL CINA DAN AKUPUNKTUR MALAYSIA

                                   

FASAL 1        NAMA 

Pertubuhan ini dikenali dengan nama  PERSEKUTUAN  PERSATUAN TABIB PERUBATAN TRADISIONAL CINA DAN AKUPUNKTUR MALAYSIA . ( FEDERATION OF CHINESE PHYSICIANS AND ACUPUNCTURISTS ASSOCIATIONS OF MALAYSIA) ( FCPAAM)

selepas ini disebut  ‘Pertubuhan’.

 

FASAL 2         TEMPAT URUSAN

Alamat dan tempat urusan Pertubuhan ialah 780A,  Jalan Sentul, 51000 Kuala Lumpur atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa; dan alamat untuk surat menyurat 780A, Jalan Sentul, 51000 Kuala Lumpur  Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.      

 

FASAL 3         TUJUAN

(1)          Mempertingkatkan kemahiran dalam perubatan tradisional cina dan akupunktur.

(2)          Menjamin reputasi dan matlamat perubatan tradisional cina dan akupunktur.

(3)          Memperlindungi kebajikan ahli-ahli Pertubuhan.

(4)          Mempereratkan hubungan  antara ahli-ahli Pertubuhan.

 

FASAL 4         KEAHLIAN

(1) (a) Keahlian terbuka kepada

Persatuan Tabib Perubatan Tradisional cina, Akupuktur, Perubatan Tulang Tradisional, Tukang Urut Tradisional Cina, Reflexsologi, Cosmotologi, Perubatan Tradisional Cina  yang berdaftar dibawah Akta Pertubuhan 1966.   

      (b) Ahli Bersekutu dibuka kepada

 (1) Persatuan amalan Qigong , Taici  yang  berdaftar dibawah Akta Pertubuhan 1966.

 (2) Syarikat Perubatan tradisional cina atau Akademi perubatan cina yang berdaftar dengan Pendaftaran Perniagaan Malaysia.

      (c) Ahli Tetap terbuka kepada

Mempunyai kelayakan seperti ahli Biasa yang membayar yuran ahli Tetap seperti di Fasal 5 ( c) dan mempunyai hak-hak seperti ahli Biasa.

(2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

(3)  Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang dinyatakan di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran bulan pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Pertubuhan dan berhaklah ia sebagai ahli.

(4)  Tiap-tiap ahli berhak melantik Dua orang wakil dan tiap-tiap wakil berhak mengundi dan memegang jawatan di dalam Pertubuhan.

(5)  Ahli Bersekutu tidak mempunyai hak mengundi serta tidak layak dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa, walaubagaimanapun boleh menyertai aktiviti pertubuhan serta menghantar seorang wakil ke mesyuarat agung.

 

FASAL 5         BAYARAN MASUK,YURAN DAN BAYARAN LAIN

(1)   Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:

(a)   Ahli Biasa

       Bayaran masuk   RM 1000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu Sahaja )

       Yuran Tahunan   RM 500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus Sahaja )

(b)   Ahli Bersekutu

       Bayaran masuk   RM 1000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu Sahaja )

       Yuran Tahunan   RM 500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus Sahaja )

(c)   Ahli Tetap

       Bayaran masuk   RM 1000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu Sahaja )

    Yuran Ahli Tetap  RM 6,000.00 (Ringgit Malaysia Enam Ribu Sahaja ) Dibayar Sekali sahaja dan dikecualikan Dari yuran tahunan.

(2) Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

(3)Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada

ahli yang mungkir membayar yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.

 

FASAL 6         PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi Ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.

(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang mencemarkan nama baik Pertubuhan boleh dipecat atau digantungkan keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

 

FASAL 7         MESYUARAT AGUNG

(1) Pengelolaan Pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi bilangan korum untuk mesyuarat.

(2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

(3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 30hb Jun pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:-

(a) Menerima laporan jawatankuasa berkenaan perjalanan Pertubuhan di dalam tahun yang lalu;

(b) Menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun lalu;

(c)  Memilih ahli-ahli jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk setiap tiga tahun ;

(d)  Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(4)  Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu notis dan agenda mesyuarat termasuk salinan minit mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli  di alamat tempat urusan Pertubuhan.

(5)  Mesyuarat Agung Khas bagi Pertubuhan ini boleh diadakan:-

(a)  Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau 

(b) Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Pertubuhan.

(6)  Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(7)  Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat. 

(8)  Fasal 7 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(9)  Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan draf minit tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

 

FASAL 8         JAWATANKUASA

(1)  Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih tiga tahun sekali di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:-

(a)  Seorang Pengerusi

(b)  Seorang Timbalan Pengerusi

(c)  Dua orang Naib Pengerusi

(d)  Seorang Setiausaha

(e)  Seorang Penolong Setiausaha

(f)   Seorang Bendahari

(g)  Seorang Penolong Bendahari

(h)  3 orang Ahli Jawatankuasa Biasa

(2) Pemegang-pemegang jawatan Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.

(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap tiga tahun .

(4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Yang Dipertua dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

(6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

(i)  Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli jawatankuasa;

(j)  Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

(k) Keputusan hendaklah dengan undi yang banyak.Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam minit mesyuarat.

(7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

(8) Jika seorang ahli jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

(9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Pertubuhan, dan melantik pengurusan dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.

(10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

(11) Pemegang jawatan Pengerusi , Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari mestilah menpunyai kelayakan tabib perubatan tradisional cina.

 

FASAL 9         KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

(1) Pengerusi,dalam masa menyandang jawatannya, hendaklah menjadi pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.

(2)  Naib Pengerusi hendaklah memangku jawatan Yang Dipertua semasa ketiadaannya.

(3)  Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat-menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Bendahari. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirim penyata tahunan Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan, 1966.

(4)  Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

(5) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua pekara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Setiausaha.

(6) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.

(7) Timbalan Pengerusi hendaklah memangku jawatan Pengerusi semasa ketiadaanya.

(8) Penolong Bendahari hendaklah memangku jawatan Bendahari semasa ketiadaannya.

 

FASAL 10       KEWANGAN

(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan yang berikut bagi peraturan ini wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walaubagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

(2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 800.00 ( Ringgit Malaysia Lapan Ratus Sahaja)  pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.

(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Pertubuhan hendaklah ditandatangani bersama oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Yang Dipertua, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa diantara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Pertubuhan.

(4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM 5000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 10,000.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 5000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa bolehlah diluluskan oleh Pengerusi bersama Setiausaha dan Bendahari.

(5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 11 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Pertubuhan.

(6) Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula dari 1hb. Januari dan berakhir pada 31hb. Disember tiap-tiap tahun.

 

FASAL 11       PEMERIKSA KIRA-KIRA

(1) Dua orang ahli yang bukannya Pegawai Pertubuhan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama tiga  tahun dan boleh dilantik semula.

(2) Pemeriksa Kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Pertubuhan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Yang Dipertua mengaudit kira-kira Pertubuhan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

 

FASAL 12       PENGAMANAH

(1) Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Pertubuhan. Semua harta tetap kepunyaan Pertubuhan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).

(2) Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Pertubuhan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Pertubuhan.

(3) Seseorang Pengamanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakkan jawatan atau pembuangan bagi seseorang oleh Pengamanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pengamanah baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Agung.

 

FASAL 13       TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

(1) Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.

 

FASAL 14       PENASIHAT/PENAUNG

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuan secara bertulis.

 

FASAL 15       LARANGAN

(1) Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Pertubuhan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belankai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game, video game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.

(2) Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan Kesatuan Sekerja seperti yang diterangkan di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959.

(3) Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

(4) “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.

 

FASAL 16       PINDAAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

 

FASAL 17       PEMBUBARAN

(1) Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung dipanggil khas kerananya.

(2) Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat  Agung berkenaan.

(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.